Bulan Ramadhan adalah bulan yang sangat di nantikan oleh umat islam yang beriman kerana ianya mempunyai banyak kelebihan di dalamnya. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya'ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat serta melatih diri kepada Allah sepanjang Ramadhan.
Kita lihat sedikit kelebihan yang ada pada bulan sya’ban bagi melatih diri memasuki ramadhan ini. Terdapat suatu amalan yang dapat dilakukan di bulan ini iaitu amalan puasa. Bahkan Rasulullah sendiri banyak berpuasa ketika bulan Sya'ban berbanding bulan-bulan lain selain puasa wajib di bulan Ramadhan.
Sayyidatina ‘Aishah telah berkata : Rasulullah S.A.W berpuasa sehingga kita mengatakan dia tidak berbuka dan baginda berbuka sehingga kami berkata dia tidak berpuasa. Dan aku tidak pernah melihat Rasulullah menyempurnakan puasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan dan aku tidak pernah melihat baginda banyak berpuasa melainkan pada bulan Sya’ban. Diriwayatkan oleh imam Bukhari. Ada persoalan disini mengatakan, Kenapa Rasulullah tidak berpuasa penuh pada bulan Sya'ban? Rasulullah tidak menyempurnakan berpuasa sebulan penuh selain di bulan Ramadhan agar tidak disangka puasa selain Ramadhan adalah wajib maka itulah jawapannya.
Di antara rahsia kenapa Rasulullah banyak berpuasa di bulan Sya'ban adalah kerana puasa Sya'ban adalah ibarat ibadah rawatib (ibadah sunnah yang mengiringi ibadah wajib). Sebagaimana solat rawatib adalah solat yang memiliki keutamaan kerana dia mengiringi solat wajib, sebelum atau sesudahnya, demikianlah puasa Sya'ban. Ini kerana puasa di bulan Sya'ban sangat dekat dengan puasa Ramadhan, maka puasa tersebut memiliki keutamaan. Dan puasa ini boleh menyempurnakan puasa wajib di bulan Ramadhan ini kerana di atas latihannya. Puasa di bulan Sya'ban adalah sebagai latihan atau pemanasan sebelum memasuki bulan Ramadhan. Jika seseorang sudah terbiasa berpuasa sebelum puasa Ramadhan, tentu dia akan lebih kuat dan lebih bersemangat untuk melakukan puasa wajib di bulan Ramadhan.
Selain daripada berpuasa juga digalakan kita melakukan amalan-amalan sunat yang lain seperti Bertaubat dan beristigfar boleh mensucikan jiwa dari dosa, kerana sebagai manusia kita sudah pasti tidak akan terlepas dari melakukan dosa. Walau bagaimanapun sebenar-benar taubat itu ialah taubat nasuha. Memperbanyak zikir dan berdoa kepada Allah. Zikir ialah ucapan yang dilakukan dengan lidah atau mengingati Allah dengan hati, dengan ucapan atau ingatan yang membesar dan mengagungkan Allah.
Maka rebutlah peluang untuk beribadah dengan kelebihan yang diberikan ini untuk mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah seperti banyakkan solat sunat diwaktu malam, bersedekah, dan berselawat kepada Rasulullah.
Puasa bulan Ramadhan adalah rukun islam yang perlu kita laksanakan. Banyak kelebihan yang Allah turunkan pada bulan ini jika dibandingkan dengan bulan-bulan lain. Dikatakan bahawa, bila tiba sahaja bulan Ramadhan jin dan syaitan yang derhaka akan diikat, pintu neraka akan di tutup dan pintu syurga akan dibuka seluasnya untuk menerima amalan-amalan baik yang di lakukan oleh orang beriman. Begitu hebatnya bulan ramadhan ini yang boleh kita gambarkan.
Antara keistemewaan puasa adalah Allah mengandakan pahala orang yang berpuasa melebihi amalan lain. Bagi orang berpuasa mereka akan mendapat dua kegembiraan iaitu kegembiraan ketika menikmati juadah berbuka dan kegembiraan ketika menemui Allah. Dikatakan mulut orang yang berpuasa lebih wangi dari bau kasturi. Ganjaran yang diberikan di akhirat tentunya lebih besar dari di dunia.
Puas bukan sekadar menahan diri dari makan dan minum sahaja. Perbuatan-perbuatan yang dilarang oleh Allah juga perlulah di hindar dari melakukanya agar tidak mencacatkan pahala puasa kita. Rugilah kita jika seharian berpuasa tidak mendapat keberkatan dari Allah hanyalah penat dan dahaga sahaja.
Memelihara lidah dari berbicara perkara yang sia-sia dan tidak berfaedah serta menyinggung hati orang lain. Ada pepatah mengatakan bahawa lidah itu umpama pedang, sekiranya kamu tidak memotongnya, maka ia akan memotong kamu..Lebih banyakkan berdiam diri atau memperbanyakkan zikir dan membaca Al-Quran itu yang sangat di tuntut oleh syariat. Allah berfirman dalam surah Al-hujurat ayat 12 Maksudnya : Dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain, adakah antara kamu suka memakan daging saudara kamu yang telah mati?, nescaya kamu tidak menyukainya..
Berbuka dengan tidak berlebihan sehingga perut penuh. Ini kerana Allah tidak menyukai dan membenci bekas yang penuh iaitu perut yang penuh. Dia tidak mampu mematahkan nafsunya ketika berbuka malah seolah-olah membalas semula apa yang terlepas ketika berpuasa di siang hari. Rasulullah menganjurkan kita supaya berbuka dengan kurma. Dari Anas bin Malik berkata: “Rasulullah SAW biasa berbuka dengan ruthab (kurma muda) sebelum solat, jika tidak ada ruthab, maka beliau berbuka dengan kurma, jika tidak ada kurma, beliau minum dengan satu tegukan air.” Oleh itu semasa berbuka, eloklah memakan makanan yang mudah di hadam,mengandungi banyak serat dalam kadar yang sederhana. Malah sewaktu bulan puasa inilah peluang kita untuk berjimat cermat dalam perbelanjaan harian daripada berlakunya permbaziran. Bersederhanalah ketika berbuka puasa ataupun bersahur. Janganlah di ikutkan selera nafsu sahaja ketika berkunjung ke bazaar Ramadhan.
Seorang yang berpuasa hendaklah seorang muslim tidak sah puasa orang kafir kerana puasa adalah ibadah dan orang kafir bukan ahli ibadah. Selain itu, baligh, berakal, berkeupayaan dan bersih dari haid dan nifas adalah juga rukun kepada puasa. Puasa tidak wajib kepada kanak-kanak kerana tidak baligh akan tetapi digalakan kepadanya berpuasa bagi melatih diri mereka. Tiada paksaan kepada mereka bagi mengelakan kemudaratan ke atas dirinya.
Islam juga memberi kelonggaran kepada umatnya yang bermusafir jauh berbuka puasanya ditakuti di timpa mudarat. Sekiranya tidak memudaratkan lebih baik diteruskan berpuasa supaya tidak perlu menggantikanya kelak ini kerana menggantikan puasa yang telah ditinggalkan pada bulan ramadhan adalah wajib. Kelonggaran juga diberikan kepada orang sakit dan ibu mengandung bagi menjaga kandunganya. Inilah keindahan islam itu sendiri mempermudahkan umatnya mengamalkan ajarannya.
Ramadhan mempunyai kelebihan di sepuluh malam terakhirnya iaitu Lailatul Qadar yang tidak diketahui bilakah malam tersebut. Rasulullah sendiri memperbanyakkan amalam ibadah pada sepuluh malam terakhir bagi mendapatkan berkat dan merebut keistemewaan malam tersebut dengan menghidupkan malam dengan ibadah bersama dengan keluarganya. Firman Allah dalam surah Al-Qadar ayat 3 bermaksud : “Lailatul Qadar lebih baik dari seribu bulan”. Pada malam tersebut para malaikat akan turun bersama-sama rahmat Allah bagi memuliakanya. Bagi umat islam yang menghidupkan malam itu dengan rasa keimanan maka Allah akan mengampukan dosa hambanya itu. Oleh itu,penulis mengajak semua umat islam memanfaatkan sepuluh malam terakhir yang penuh dengan berkat ini dengan amalan zikir dan ibadah lain serta berdoa kepadanya.
Di dalam bulan Ramadhan ini juga ada satu tanggungjawab yang wajib kita laksanakan bagi melengkapkan puasa kita iaitu membayar zakat fitrah. Membayar zakat juga adalah salah satu rukun islam yang perlu dilaksanakan sebagai umat islam. Zakat fitrah boleh di bayar bermula dari awal Ramadhan sunat hukumnya membayar selepas fajar Hari Raya Pertama hingga waktu solat Hari Raya. Ianya tidak dikira sebagai zakat fitrah sebaliknya hanyalah sedekah sekiranya dibayar selepas solat Hari Raya dan hukumnya makruh. Jatuhnya hukum haram pula sekiranya dibayar zakat itu selepas berakhirnya Hari Raya Pertama. Amatlah rugi jika kita tidak mengawalkan membayar zakat kerana ditakuti terlupa untuk membayarnya.
Setiap ibadah sudah tentu mempunyai cabaran dan halangan. Ini kerana terdapatnya ganggu gugat daripada syaitan dan lain-lain supaya ibadah tersebut batal atau tidak diberi pahala di sisi Allah s.w.t . Justeru janganlah jadikan ibadah anda menjadi sia‐sia dan perlu tahu matlamat sesuatu ibadah itu di wajibkan dan hikmahnya. Dengan itu barulah kita mengalu-alukan kedatangan Bulan Ramadhan dengan penuh kegembiraan dan bersemangat bagi melaksanakannya. Dari sudut kesihatan juga mempunyai banyak kelebihan jika kita berpuasa.
Dari sudut kesihatan puasa boleh menurunkan berat badan atau obses dengan cara sihat. Mengawal kandungan gula dengan lebih baik dan merehatkan seketika perut dari penghadaman. Ianya juga boleh mendisiplinkan diri supaya berhenti merokok. Di siang harinya perokok meninggalkan rokok kerana berpuasa manakala malam pula sibukkan diri dengan amalan ibadah solat tarawih.
Hikmah dan Kelebihan puasa ialah:
i. Menyedarkan kita bahawa setiap pergerakan kita di perhatikan oleh Allah untuk di timbang ketika hari kiamat kelak
ii. Puasa memberi Kesegar kepada fizikal dan mental seseorang
iii. Puasa merehatkan seketika perut dari penghadaman makanan dan toksik
iv. Kekenyangan yang berlebihan mendidik menjadi malas bekerja dan jiwa akan menjadi keras.
v. Menyuburkan perasaan kasih sayang dan menanam sifat perihatin dalam diri terhadap orang yang susah.
Kesimpulannya amalan yang berterusan ini akan membuatkan kita lebih bersedia untuk beramal serta meyambut kedatangan Ramadhan dengan hati yang bersih dan jiwa suci, natijahnya mengundang ke arah kecemerlangan hidup di dunia dan di akhirat. Ganjaran yang menunggu kepada orang berpuasa tentunya lebih besar di akhirat.
Sabda Rasulullah:
Maksudnya: Sesungguhnya dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama Rayyan, dimana memasuki daripadanya orang‐orang yang berpuasa pada hari kiamat dan yang lain tidak berhak. Dikatakan mana orang yang berpuasa? Lantas mereka bangun dan masuk melaluinya. Apabila selesai ditutup dan tiada yang lain berhak memasukinya. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
No comments:
Post a Comment