PROGRAM LAWATAN MAHABBAH RAMADHAN DAN PENYAMPAIAN SUMBANGAN HARI RAYA AIDILFITRI SERTA PENYERAHAN JALUR GEMILANG KEPADA PESAKIT DI PUSAT PERUBATAN UNIVERSITI MALAYA (PPUM), PETALING JAYA, SELANGOR PADA 30 OGOS 2010
Petaling Jaya, Selangor - Masjid Negara telah menganjurkan Program Lawatan Mahabbah Ramadhan dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri serta Penyerahan Jalur Gemilang sempena Hari Kemerdekaan ke-53 kepada Pesakit-Pesakit di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Petaling Jaya, Selangor pada 30 Ogos 2010 (Isnin) bermula jam 11.00 pagi. Bersesuaian dengan Bulan Ramadhan Al-Mubarak ini, ianya merupakan salah satu program kebajikan di luar Masjid Negara dan ianya merupakan program tahunan yang dijalankan secara bergilir-gilir di Hospital-Hospital di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
Program ini dihadiri oleh Imam Besar Masjid Negara, YBhg. Tan Sri Syaikh Haji Ismail bin Haji Muhammad serta Pengarah Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) mrangkap Dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Ikram Shah bin Ismail dan Ketua Penolong Pengarah Unit Perhubungan Awam Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Petaling Jaya, Selangor, Encik Yahaya bin A. Hamid dan disertai oleh Pegawai serta kaki tangan Masjid Negara seramai 30 orang. Turut serta dalam Program tersebut adalah Imam yang didatangkan khas dari Mesir yang mengimamkan Solat Sunat Tarawih di Masjid Negara iaitu Sheikh Abd Elrahman Eldesouky Taha Radwan. Sumbangan berupa hamper, risalah mengenai Islam serta Buku Panduan Solat ketika Sakit keluaran JAKIM telah diedarkan kepada pesakit-pesakit di 4 wad terpilih iaitu Wad Medikal Biasa, Wad Surgeri, Wad Maternity dan Wad Patah, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya, Selangor.
Objektif utama program ini adalah untuk mengeratkan lagi hubungan di antara kaki tangan Masjid Negara dengan kaki tangan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di samping dapat memupuk budaya bersedekah di kalangan masyarakat bersempena bulan Ramadhan Al Mubarak yang mulia ini. Ianya juga dapat memberi sedikit sinar keceriaan kepada pesakit-pesakit yang menerima rawatan di Hospital tersebut dengan adanya program lawatan sebegini. Di samping itu juga, penyerahan Jalur Gemilang kepada para pesakit juga adalah bagi menyahut seruan Kerajaan supaya rakyat Malaysia disemai dengan rasa cintakan negara serta dapat menyemarakkan lagi sambutan Hari Kemerdekaan Negara yang ke-53 yang diraikan pada 31 Ogos setiap tahun di mana tema untuk tahun ini adalah 1 Malaysia – Menjana Transformasi.
Di harap program sebegini akan sentiasa mendapat perhatian dan sokongan daripada orang ramai demi untuk terus mengimarahkan Masjid sebagai institusi untuk merapatkan hubungan silaturrahim sesama Islam selain melakukan amalan-amalan yang sedia menjadi kewajipan bagi umat Islam di Malaysia khasnya dan di dunia amnya.
Disediakan oleh:
UNIT PERHUBUNGAN AWAM DAN PUSAT SUMBER, MASJID NEGARA, JAKIM
30 Ogos 2010
No comments:
Post a Comment