tiada masalah kewangan jangan klik!

Friday, January 1, 2010

Apa Sudah Jadi???

KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) -- Majalah mingguan Katolik, Herald, boleh menggunakan perkataan "Allah" dalam penerbitannya, Mahkamah Tinggi di sini memutuskan hari ini.

Hakim Datuk Lau Bee Lan, dalam keputusan lisannya, menegaskan bahawa Herald mempunyai hak berperlembagaan untuk menggunakan perkataan itu dalam majalah berkenaan untuk menyebarluaskan agama Kristian dan bukannya agama Islam.

Beliau berkata lanjutan kepada Artikel 11(4) Perlembagaan Persekutuan, adalah menjadi kesalahan bagi bukan Islam untuk menggunakan perkataan "Allah" kepada umat Islam untuk menyebarluaskan agama itu.

Bagaimanapun, ia bukanlah satu kesalahan untuk bukan Islam menggunakan perkataan itu kepada bukan Islam bagi tujuan agama, katanya.

Lanjutan kepada Artikel 11 dan 12 Perlembagaan Persekutuan, Herald mempunyai hak berperlembagaan untuk menggunakan perkataan itu daripada segi ajaran dan pendidikan kepada penganut agama Kristian.

Artikel 10 membenarkannya untuk menggunakan perkataan itu dalam melaksanakan hak terhadap kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat, katanya.

Lau berkata keputusan Kementerian Dalam Negeri melarang penerbitan Herald daripada menggunakan perkataan "Allah" dalam majalah itu adalah salah, batal dan tidak sah.

Beliau berkata menteri berkenaan juga gagal mengemukakan bukti bahawa penggunaan perkataan itu akan mengancam keselamatan negara dan mewujudkan salah faham serta kekeliruan dalam kalangan umat Islam.

Pada 16 Feb, Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur Tan Sri Murphy Pakiam memfailkan semakan kehakiman berhubung penggunaan perkataan "Allah" dalam penerbitan gereja, dengan menamakan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden.

Beliau mendakwa perkataan 'Allah' bukanlah eksklusif kepada agama Islam.

Pada 7 Jan, Kementerian Dalam Negeri meluluskan permit penerbitan Herald bagi tempoh 1 Jan sehingga 31 Dis 2009, dengan syarat perkataan "Allah" tidak digunakan di dalamnya dan perkataan "Terhad" mesti dicetak pada muka depan majalah mingguan itu yang hanya boleh diedarkan kepada penganut Kristian serta di gereja sahaja.

Kementerian Dalam Negeri telah mewajarkan larangan itu atas alasan keselamatan negara dan bagi mengelak salah faham serta kekeliruan dalam kalangan umat Islam.

Selepas keputusan itu, Peguam Kanan Persekutuan Datuk Kamaluddin Md Said, yang mewakili menteri dan kerajaan, meminta penjelasan mahkamah sama ada keputusan itu akan menjejaskan penerbitan Herald bagi tempoh 1 Jan hingga 31 Dis 2010.

Beliau berkata ini disebabkan permohonan itu adalah untuk tahun ini dan bukannya untuk penerbitan tahun depan.

Peguam yang mewakili gereja berkenaan, Porres Royan, memaklumkan kepada mahkamah bahawa menteri telah pun memberi permit baru pada awal tahun ini untuk penerbitan tahun depan.

"Keputusan itu dengan sendirinya jelas. Menteri telah pun memberi permit baru untuk tahun depan. Saya percaya menteri akan akur dengan keputusan ini," katanya.

Kamaluddin memberitahu mahkamah bahawa beliau perlu mendapatkan arahan daripada menteri sama ada keputusan hari ini akan menjejaskan permit baru untuk penerbitan tahun depan memandangkan ia membabitkan perkara yang sangat serius.

Katanya, beliau juga perlu mendapatkan arahan daripada responden mengenai sama ada untuk merayu atau memohon penangguhan pelaksanaan keputusan.

Lau berkata responden mempunyai 30 hari untuk memfailkan permohonan itu.



-- BERNAMA
Reply With Quote

No comments:

Post a Comment